BENAR bak kata pepatah, kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Begitulah juga kisah percintaan antara penyanyi bertahi lalat manis di atas bibir dengan pasangannya itu.
Mengekori kronologi hubungan mereka, Dia Fadila dan suaminya, Redza Abdullah Sanusi, 33, sudah lama berkenalan kerana mempunyai kelompok kawan yang sama.
Biar sering keluar bersama secara beramai-ramai, namun masing-masing jarang bertegur sapa.
Ujar pemilik nama Nur Nadia Fadila Abu Bakar, 26, dalam tempoh dua tahun mereka berkawan, boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja mereka bertegur sapa, itupun sekadar bertanya khabar.
Siapa sangka, dua orang kenalan yang suatu ketika dahulu jarang bersembang apatah lagi mengambil tahu tentang kehidupan masing-masing akhirnya bersama.
"Tak tahu kenapa kami berdua susah hendak bersembang dan tidak banyak bercakap apabila bertemu selama dua tahun kami berkawan," kata Dia membuka rahsia.
Bagaimanapun, permulaan Redza menegur Dia melalui ruangan sembang Gtalk, Gmail mengubah segala-galanya.
"Sombong, gelarnya kepada saya. Saya soal kepadanya balik siapa yang sombong memandangkan dia pun tidak pernah berusaha mahu bersembang dengan saya.
"Masing-masing tidak mahu mengaku sombong, akhirnya kami bersetuju untuk berjumpa berdua dan tengok siapa yang sombong sebenarnya.
"Apabila bersua pada pertemuan seterusnya, baru terlihat perangai sebenar kami dan rupa-rupanya kami sama sahaja, serasi, masing-masing banyak cakap cuma saya lebih sedikit," ujarnya yang berseri ketika ditemui selepas majlis akad nikahnya di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini baru-baru ini.
Nikah secara sederhana
Semenjak itu, mereka semakin rapat lalu cinta kian berputik di hati pelantun lagu Aku Masih Setia ini.
Tidak menunggu terlalu lama, akhirnya dua merpati sejoli ini bersetuju untuk mengikat tali pertunangan pada hujung bulan Mac yang lalu dan akhirnya sah menjadi suami isteri pada 1 Oktober lalu.
Ujar Dia, dalam tempoh pertunangan mereka benar-benar bercinta dan saling mendalami hati budi masing-masing.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah masjid tersebut, Hafizan Ibrahim setelah diwakilkan oleh bapa Dia, Abu Bakar Sudin, tepat pukul 9.45 pagi.
Dengan sekali lafaz, Redza sah menjadi suami kepada Dia pada majlis yang dihadiri 70 orang tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pihak itu.
Dia menerima mas kahwin RM2309.84 yang merupakan simbolik tarikh kelahiran Dia iaitu 23 September 1984, senaskhah al-Quran dan sepasang telekung serta wang hantaran sebanyak RM20,000 pada majlis pernikahannya itu.
Pasangan ini juga bersepakat untuk tidak berbalas dulang hantaran seperti kebiasaan sebaliknya pihak Dia menyediakan empat bekas manisan dan sebentuk cincin sebagai tanda cenderahati.
Sambung Dia yang juga merupakan pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), mereka sepakat untuk tidak menyediakan dulang hantaran kerana mahu mengutamakan perkara-perkara wajib dalam majlis pernikahan sahaja.
Tarikh pernikahan mereka ini juga bersempena tarikh ulang tahun kelahiran Redza.
Redza sempurna di mata Dia
"Redza sempurna di mata saya, luar dan dalam," ujarnya ringkas sambil tersimpul malu saat diajukan soalan apa yang membuatkan hatinya terpaut kepada lelaki itu.
Ujarnya, apa yang dia cari dalam seorang lelaki untuk menjadi raja di hatinya, ada pada Redza.
Tambahnya lagi, dia sudah lama terpikat dengan lesung pipit Redza yang baginya amat manis.
Bagi Redza yang bertugas sebagai pengurus pengiklanan di sebuah agensi pengiklanan, sifat Dia yang memahami, sentiasa menyokong dan tidak mengongkong adalah antara kualiti yang membuatkan dia jatuh cinta dengan Dia.
Selain itu, dia amat jatuh cinta dengan mata dan bibir isterinya yang menurut Redza amat menawan.
"Mungkin sebab matanya itulah saya tidak berani terlalu ramah apabila berjumpa Dia pada awalnya," ujar Redza berseloroh.
Akui Redza, pada awal perkenalan, dia tidak tahu pun yang Dia merupakan seorang artis kerana jarang mengambil tahu perkembangan industri seni tempatan.
"Sehinggalah diberitahu oleh seorang teman, saya buka internet dan cuba mencarinya di dalam Youtube dan baru saya perasan.
"Dia seorang yang amat merendah diri membuatkan ramai yang minat dengannya. Sebab itulah saya ajak Dia berkahwin cepat-cepat!" Ujar Redza disertai gelak.
Redza juga tidak akan menghalang karier seni Dia walaupun kini sudah bergelar isterinya kerana dia tahu dunia nyanyian adalah sesuatu yang paling digemari isterinya itu.
- sumber dari Utusan.
Mr.Kayrell : Semoga bahagia hingga ke akhir hayat...
Sunday, October 3, 2010
Browse » Home »
Artis Kahwin ,
Dia Fadila ,
Hiburan ,
Utusan
» Pernikahan Dia Fadila : Dari sombong jadi cinta
Pernikahan Dia Fadila : Dari sombong jadi cinta
Labels:
Artis Kahwin,
Dia Fadila,
Hiburan,
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Comments :
0 comments to “Pernikahan Dia Fadila : Dari sombong jadi cinta”
Post a Comment