Tuesday, October 5, 2010

Kisah Artis Malaysia : Tragedi cinta tiga wanita

TIGA wanita, satu tragedi. Tragedi cinta yang menyakitkan itu sedang bersembilu dalam relung hati ketika ketiga-tiganya masih bergelar isteri orang.

Antara Wan Norazlin (39 tahun), Abby Abadi (30) dan Erema (25) berlainan tuan badan, tetapi pada hari ini mereka berkongsi perasaan yang sama. Terluka kerana cinta yang disemai berakhir dengan tragedi pahit lagi memilukan.

Ketiga-tiganya sedang berhadapan dengan hempedu perkahwinan yang tidak pernah disangkakan. Begitulah janji hidup. Bahawa yang bahagia tidak selamanya bahagia, yang berduka pula boleh sekelip mata bertukar ceria gembira.

Tambah memburukkan keadaan lagi apabila tragedi malang yang menimpa hidup ketiga-tiganya menjadi mainan di media. Maklum saja, orang popular. Mana mungkin melarikan diri daripada kenyataan yang terbentang. Baik atau buruk mereka banyak mata yang mahu memandang, banyak telinga yang mahu mendengar apa kisah terbaru. Kalau setiap hari jadi berita pun tak apa, janji ada perkara untuk bercerita.

Hari ini, kita menyambut Aidiladha, hari raya korban yang penuh dengan keberkatan. Molek barangkali, kita lupakan seketika amarah atau segala resah yang bertamu di jiwa.

WAN NORAZLIN sehingga ke hari ini tidak sanggup 'bercerai' dengan suami demi masa depan anak-anak.

Kosmo! mengajak ketiga wanita ini untuk bercakap tentang pengorbanan yang masih bersisa di jiwa kala hati disimbah luka.

Kepada Wan Norazlin, pengorbanan paling besar dalam kehidupannya ialah apabila dia meletakkan anak-anak di tempat utama dalam membuat sebarang keputusan.

Mungkin banyak yang kurang jelas bahawa di sebalik kisahnya 'bercakaran' dengan si suami, Wan tidak pernah melafazkan perkataan cerai di bibirnya.

Kepada wanita ini, perkataan cerai tidak pernah ada dalam kamus kehidupannya. Dan ia adalah kerana satu pengorbanan.

"Saya tidak akan sama sekali tuntut cerai. Biarlah bagaimana sekalipun saya dilayan, saya tidak akan sampai untuk menuntut cerai daripada suami. Biarlah saya berkorban demi anak-anak," demikian tekad Wan Norazlin yang saya bahasakan sebagai Wan saja.

Pada pandangan Wan, dia lebih rela memikul segala beban perasaan demi kerana tidak mahu melihat masa depan anak-anaknya terhimpit duri tajam.

Dua putera dan seorang puteri, tidak memungkinkan Wan untuk 'hilang' status sebagai isteri kepada seorang lelaki bernama Mohd. Yazli Yaakob. Lelaki yang sama pernah melafazkan cinta kepada dirinya lebih sepuluh tahun lalu, kononnya mahu membawa ambar kasturi dalam kamar peraduan cinta.

"Kepada saya, dialah suami pertama dan terakhir. Saya tidak akan menuntut cerai walau dengan apa pun yang terjadi. Apa yang saya minta di mahkamah sekarang hanyalah nafkah zahir dan batin sahaja. Hak saya dan anak-anak.

"Nafkah zahir daripada segi kewangan dan harta benda, sementara batiniah pula dari segi kasih sayang. Saya harap supaya suami saya akan pulang ke rumah walau apa sekalipun masalah yang sedang kami hadapi," katanya persis merayu.

Justeru Wan berharap agar segala pengorbanannya tidak disia-siakan dan masih ada ruang untuk mereka saling membaiki diri, demi zuriat yang menjadi lambang perkasihan mereka.

Sedar diri dengan banyak kealpaannya selama ini, derita yang sedang dihadapi menjadi pemangkin kepada perubahan diri.

Sementelah semenjak 1 Rejab bersamaan dengan 4 Julai lalu, dia memilih untuk berhijrah kepada kehidupan yang lebih dekat dengan nilai-nilai yang diinginkan dalam agama.

Wan tampil bertudung, tetapi dalam masa yang sama sedikit kecewa kerana ibunda tercinta, Hajah Aishah@Normah Abdul Ghani tidak sempat menyaksikan perubahan yang berlaku kepada dirinya.

"Emak saya meninggal dunia awal Februari lalu. Selepas emak pergi, saya rasa saya sudah buat banyak dosa terhadap ibu bapa selama ini.

"Julai lalu saya nekad untuk pakai tudung sebab banyak tudung-tudung arwah emak yang terbiar, tak ada orang yang pakai. Jadi, sejajar dengan terbukanya pintu hati saya untuk berhijrah, saya merasakan inilah detik yang selama ini saya cari dalam kehidupan.

"Mungkin dengan ujian pahit dan getir dalam rumah tangga saya hari ini menjadi 'pembasuh' kepada segala dosa-dosa yang pernah saya lakukan selama ini. Sebab itu saya reda dengan apa juga cabaran hari ini, kerana saya percaya Allah sangat sayangkan saya, maka diujinya saya dengan keadaan seperti sekarang," katanya lagi.

Darjah korban tertinggi

Kepada Erema pula, usia mudanya menikahi penulis lirik, Seri Bayu adalah darjah pengorbanan paling tinggi dalam kamus hidupnya sebagai seorang wanita.

Benar sekali, siapa di luar sana yang mampu melakukan pengorbanan sama seperti si jelita kelahiran Sarawak ini? Siapa yang sanggup menikahi seorang lelaki, pada ketika dia tahu perlu mengusung duka menanggung masalah kesihatan yang cukup serius?

Sedang usia terlalu muda, Erema sebenarnya boleh melebarkan sayap yang lebih bebas untuk meneroka dunianya yang tersendiri. Sebaliknya dia memilih berada di sisi seorang suami yang kurang upaya. Beritahu saya, siapa senekad Erema?

Justeru, kala dia menghantar permohonan cerai kepada Mahkamah Syariah Petaling Jaya baru-baru ini, ada yang bertanya, "Apa sudah jadi? Kononnya cinta sejati? Sudah habiskah segala apa yang ada dikikis atau sudahkah bertemu dengan seorang pria yang lebih 'ganteng'?" Barangkali itu semua kata-kata mereka yang tidak berhati perut tanpa perasaan.

Katalah apa saja, natijahnya kepada Erema dia nekad dan tidak akan memandang ke belakang lagi.

"Hari ini (temu bual lewat petang Sabtu-6 Disember) Ema mula berpindah untuk keluar rumah. Sikit-sikit bawa keluar barang.

"Tak sanggup lagi terus bersama kalau hati sudah sakit sangat. Ema tahu bukan mudah untuk menuntut perceraian ini, tetapi hati sendiri sudah tidak tahan menanggung segala-galanya," kata Erema membahasakan dirinya Ema.

Pada detik tangannya lancar memegang pena mengisi borang permohonan perceraian, demikian juga hati kecilnya menjadi sekukuh karang di lautan.

Tidak akan berubah dengan apa sekalipun rayuan. Kepada Erema, apabila dia memulakan kes perceraian ini, tak akan ada istilah berpatah balik ke belakang.

"Harap masyarakat mengerti dengan keputusan yang sudah saya buat. Ini hal rumah tangga, orang tak ada di tempat saya tak akan faham. Hendak kata apa pun cakap sajalah. Yang penting ini hidup saya, masa depan saya. Orang mungkin kasihan kepada suami saya sebab dia sakit, tetapi diri saya macam mana? Saya tak mahu terus menderita sampai selama-lamanya,"katanya lagi.

Menurut Erema, bukan mudah untuk dia membuat keputusan. Masa setahun berfikir sudah cukup untuk dia mengenal mana yang terbaik untuk dirinya sendiri dihari muka.

Bercakap soal pengorbanan, dia merasakan dalam kehidupan berkahwin sebelum ini apa yang telah dicurahkan tidak ternilai harganya.

"Dan saya juga rasa pengorbanan saya sudah terlalu banyak dan besar untuk dia selama ini. Kalau hendak dibandingkan antara saya dan dia, saya yang paling banyak berkorban. Korban masa, usia muda, korban perasaan dan segala-galanya," katanya dengan mata bersisik.

Pun tidak pernah ada istilah penyesalan terhadap segala pengorbanan yang telah dia lakukan sebelum ini. Mengahwini Seri Bayu juga bukanlah satu kesilapan, bukan juga penyesalan.

"Ema tak menyesal berkahwin dengan dia. Berkorban untuk dia pun Ema tak pernah menyesal walaupun sekelumit. Tetapi bila dia kata macam-macam, buruk-burukkan Ema, itu yang buat hati rasa menyesal sangat. Kenapa perlu begitu? Bukankah lebih manis kalau kita menyimpan aib dan rahsia rumah tangga meskipun cinta telah berakhir," katanya sambil mengharapkan yang terbaik kepada kehidupan selepas ini.

Anak-anak pembawa rezeki

Bila hati sudah tiada sayang, untuk apa lagi satu penantian? Biar diri menjadi helang, melebarkan sayap kebebasan.

Pun meminta untuk berpisah dengan suaminya, Norman Hakim bukan tiket untuk Abby Abadi memanjangkan langkah atau mahu lepas bebas.

Pelakon wanita yang masih jelita setelah melahirkan tiga anak ini, telah menghantar permohonan untuk bercerai pada Jumaat lalu atas alasan tiada lagi persefahaman dengan suaminya, Norman Hakim.

Menurut Abby, dia membuat keputusan untuk berpisah dengan suami atas dasar pudar sudah kasih sayang.

Apa pun yang berlaku kepada kehidupannya selepas ini, dia nekad mengharungi sendirian, bersama anak-anak tersayang.

"Sekarang apa yang saya fikir hanyalah bekerja, bekerja dan bekerja sahaja. Segalanya demi anak-anak. Kebetulan rezeki semakin baik selepas melahirkan anak ketiga. Rezeki melimpah ruah mungkin sebab dalam masa yang sama diri saya diuji. Dan saya anggap ini semua rezeki selepas hidup saya jadi kucar kacir," katanya.

Ketika ditanya dari manakah seorang Abby Abadi memperoleh kekuatan, pantas dia berkongsi rasa hati. Meskipun adakalanya dia dilihat begitu teguh berdepan dengan sensasi perkahwinan, Abby mengakui dalam sesuatu keadaan dia juga seperti wanita lainnya.

"Orang selalu anggap saya kuat dari segi fizikal dan mental, tetapi adakalanya saya juga tidak mampu berhadapan dengan cubaan dan dugaan yang datang.

"Tetapi saya bernasib baik sebab ada anak-anak. Apa yang penting dalam keadaan sekarang ialah anak-anak. Merekalah kekuatan untuk diri saya. Bila hati tengah marah, tengok saja anak-anak, saya boleh kembali tenang.

"Apa-apa hal sekalipun sekarang saya sudah semakin kuat untuk berhadapan dengan apa juga yang berlaku dalam kehidupan saya selepas ini," katanya.

Kepada tiga wanita yang menjadi 'bunga' penyeri laman seni ini, hanya satu yang boleh dikhabarkan. Bersabarlah!

Tempuhi segala duga dan uji-Nya dengan sepasrah dan sereda mungkin. Sesungguhnya kita hanya insan biasa yang tidak mampu menduga segala anugerah dan kurnia-Nya disebalik segala nestapa yang singgah dalam kehidupan.

Mr.Kayrell : Cerita ni dah lama tapi baik untuk dikongsi. Semoga tabah bina hidup baru.

Comments :

0 comments to “Kisah Artis Malaysia : Tragedi cinta tiga wanita”

Post a Comment

 

Copyright © 2009 by Real Media Malaya, Musician Blog Design, People.com Inspiration Powered By Blogger, The Blog Full of Games